:)

:)

Deklarasi cinta..

by 1:33 AM 0 comments


 لا إله إلا الله 
Tiada Illah yang di sembah melainkan Allah.

Kalimah yang acapkali diulanglafazkan dalam kehidupan seharian.

Dalam kalimah syahadah yang pendek itu.

Diulang berpuluh kali, kekadang beratus kali dalam tahlil dan bacaan yasin di kampung-kampung.

Ia dimasukkan juga sebagai lafaz azan yang terakhir.

Bahkan dibaca dalam solat berulang kali.

Ia sering diulang-ulangkan. Kalimahnya pendek sahaja.
La Ilaha Illa Allah.
Namun, mengandungi erti yang cukup besar buat kehidupan kita. [ Read more ... ]



Mengapa ia sering diulang-ulangkan?
Fahamkah kita tuntutan kalimah itu terhadap kehidupan kita?
Atau kita hanya sekadar seronok membiarkan lafaz kalimah itu bermain di bibir kita tanpa kita mengerti maksud sebenar dan tuntutan di sebalik kalimah mulia itu?


IA BUKAN SEKADAR ITU, TAPI ADA TUNTUTAN TERHADAP SISTEM HIDUP

Tidak cukup jika kita hanya menganggap lafaz  لا اله إلا الله  itu sebagai satu ucapan barakah sahaja.
Ya.
Tidak tepat jika kita hanya meletakkan kedudukannya untuk kita memperoleh keberkatan dalam hidup.

Berkat hidup itu sebenarnya kurniaan Allah. Bila Allah redha, Allah akan beri.
Cukupkah dengan hanya kita mengulang-ulangkan kalimah itu sahaja tanpa kita memahami dan menghayatinya, kemudian kita berharap dimasukkan ke dalam syurga?

Ada orang melafazkan kalimah ini, bahkan selalu diulang-ulang sebagai zikir hariannya, namun kenapa masih dalam hidupnya ia seringkali mengucapkan katanista dan menyusahkan jirannya?

Ada orang melafazkan kalimah ini, namun ia masih menjadikan zina mata dan zina hati sebagai amalan kebiasaannya.

Ada juga orang yang mencuri dan merompak, lalu mereka pun boleh mengucapkan kalimah ini, maka apakah mereka telah layak untuk ke syurga?

Ada juga pengurus syarikat seorang Islam, sejak azali mengucapkan kalimah syahadah, namun di dalam syarikat, dialah yang menggelapkan duit syarikat dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

Contoh realiti ini kita boleh dapati di mana-mana sahaja berlaku hari ini terutama dalam kalangan umat Islam.
Saya tidak berbohong, tapi saya melihat dan mengkaji.

Lalu timbullah di sini satu persoalan, lalu di manakah Allah sebagai satu-satunya Illah (sembahan) yang kita yakini dalam lafaz yang selalu kita ulang-ulangkan itu?
Bukankah Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala amalan kita...
Bukankah Allah itu Maha Menghisab segala amal kita...

Maka di sinilah titik tolak yang kita perlu fahami. Sebenarnya  لا اله إلا اللهbukan sekadar satu ucapan biasa mahupun ucapan mengejar berkat. Tetapi ia sebenarnya adalah satu PRAKTIS atau AMALAN dalam bentuk sistem hidup.

Di sinilah kita perlu memahami bahawa apa pun yang kita buat atau laksanakan, maka asasnya adalah لاإله إلا الله  iaitu Allah sebagai satu-satunya Illah (sembahan) kita. Apa maksudnya?

Maksudnya apa pun yang kita laksanakan, kita tidak menduakan atau menyekutukan Allah dengan yang lain. Dalam semua aspek kehidupan kita, baik dalam sistem kenegaraan, suasana bermasyarakat, muamalah, pergaulan, cara hidup kita semua sekali bergerak di atas keyakinan bahawa apa yang kita lakukan itu semuanya bertujuan untuk mencapai redha Allah semata-mata, bukan redha manusia mahupun sesiapa jua selain Allah.

Ya. REDHA ALLAH sahaja. Tidak ada yang lain.
Maka jika kita berkehendakkan kepada redha Allah, maka mestilah mengikuti apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Mestilah mengikuti batasan-batasan dan suruhan yang telah diperintahkan-Nya.

Kita sebagai pemerintah atau pentadbir, maka cara pemerintahan dan pentadbiran itu mestilah ke arah mencapai redha Allah.
Jika cara pemerintahan dan pentadbiran berlawanan dengan kehendak Allah, tidak adil, zalim, tidak amanah, tidak menjaga rakyat daripada melaksanakan perintah dan larangan Allah, maka ia bukan lagi pemerintahan yang berasaskan لا إله إلا الله walaupun dicanang di merata-rata bahawa ia adalah kepimpinan Islam, ia mendukung sebuah pemerintahan Islam dan sebagainya.

Kita sebagai ibu bapa, maka mestilah cara mendidik anak-anak itu ke arah membawanya untuk mencapai redha Allah.
Jika pendidikan terhadap anak-anak diabaikan atau berlawanan dengan apa yang Allah tetapkan, tidak mendidik anak untuk solat, membiarkannya leka dengan maksiat dan dosa, mengabaikan urusan akhiratnya, maka cara pendidikan itu bukan lagi berasaskan لا إله إلا الله.

Kita sebagai pelajar, maka kita mestilah memenuhi tuntutan untuk belajar sebagai tanggungjawab kita untuk mencapai redha Allah. Ya. Belajar pun untuk mencapai redha Allah. Jika kita belajar semata-mata berkiblatkan peperiksaan atau untuk dipuji-puji kerana alimnya kita, maka kita belajar bukan lagi di atas asas لا إله إلا الله kerana kita berkongsi Allah dengan yang lain dalam apa yang kita lakukan.

Maksud firman Allah s.w.t.:
"Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah Rabb sekalian alam..."


CINTA ITU SELALU MEMBUATKAN SEORANG KEKASIH MENJADI 'GILA'

Anda pernah lihat orang gila?
Bagaimana perilakunya?
Percakapannya, gerak-gerinya, pendek kata apa sahaja yang dia lakukan tidak membuatkan dia malu dengan sekitarnya. Apa dia nak buat, dia buat. Dia bukan kisah dengan orang sekelilingnya. Bahkan, orang di sekelilingnya akan rasa risau dan takut serta rimas jika ia datang dekat.
Itu orang gila. Gila-gila dia pun, ganjaran SYURGA sudah terjamin.

Itulah perumpamaan orang bercinta. Bagai orang gila.
Gila dan mabuknya seseorang dengan kekasihnya sehinggakan apa yang kita cakapkan kepada dia pun kadang-kadang tidak dipedulikan.
Tak percaya? Cubalah...
Kita larang ke, kita suruh ke, dia peduli apa. Yang penting, dia dengan kekasihnya. Kalau kekasihnya puas dan suka dengan apa yang dia buat untuk kekasihnya, maka baginya itu sudah cukup dan lebih besar berbanding dunia yang luas ini.

Begitulah kita dengan Allah. لا إله إلا الله sebenarnya adalah deklarasi cinta kita kepada Allah.

Tidak semudah itu kita melafazkannya.

Apabila kita melafazkannya, maka kita telah menyatakan rasa cinta kita kepada Allah dan kesediaan untuk kita melaksanakan semua yang telah diperintahkannya kepada kita.
Lalu, saya mahu timbulkan persoalan di sini.
Apakah ada orang yang melafazkan "ayat-ayat cinta..." dengan jiwa yang kosong dan hati yang tiada perasaan?
Orang yang melafazkan "ayat-ayat cinta" dengan jiwa yang kosong, maka lafaz itu juga kosong daripada apa-apa pengertian. Tiada manfaat apapun daripada kalimah cinta itu.
Tidak ada juga orang yang melafazkan kalimah cinta pada orang yang tidak dikenalinya.

Maka di situlah titik pertemuannya.
Apabila kita melafazkan kalimah لا إله إلا الله itu, sebenarnya ada tuntutan ke atas kita untuk kita lebih mengenali siapa Allah kepada kita dan siapa kita kepada-Nya serta apa tuntutan dan tanggungjawab ke atas diri kita.

Itulah DEKLARASI CINTA kita yang sebenar.
Deklarasi cinta kita pada seseorang membuatkan kita rasa bertanggungjawab terhadap orang itu, tak?
Lafaz cinta anda pada keluarga, membuktikan anda akan bertanggungjawab dengan hal keluarga anda.
Cinta anda pada sahabat, membuatkan anda rasa bertanggungjawab untuk bersedia menjadi sahabat yang baik dan mengambil berat tentang sahabat anda.
Cinta anda pada seseorang untuk dijadikan teman hidup, membuatkan anda bertanggungjawab untuk mencari jalan yang betul supaya anda dan dia disatukan dalam keadaan Allah redha, supaya dapat saling melengkapi dalam rumah tangga.

Begitulah cinta kita pada Allah...
Sepatutnya lebih hebat daripada semua itu.

Deklarasi cinta kepada Allah sepatutnya membuatkan kita semakin rasaBERTANGGUNGJAWAB terhadap segala perintah Allah ke atas diri kita, baik suruhan mahupun larangan-Nya.
Deklarasi cinta itu membekalkan kita ENERGI TAMBAHAN untuk kita lebih taat kepada Allah, serta meninggalkan dosa dan maksiat.

Sebab itulah, cinta itu asas untuk kita melaksanakan syariat-Nya.
Apabila wujudnya rasa cinta itu, maka tidak ada lagi halangan-halangan bagi kita untuk buat apa yang Allah suruh, dan tinggal apa yang Allah larang.
Buat apa yang Allah s.w.t. suka sahaja, dan tinggal apa yang tidak disukai-Nya.

Firman Allah dalam surah Al-Imran,31 yang bermaksud:

"Katakanlah : Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu..."


PENUTUP : لا إله إلا الله SEBAGAI TAPAK, DASAR HIDUP YANG KUAT, PEGANGLAH IA SEBAIKNYA

Anda pernah lihat pembinaan bangunan, bukan?
Apa-apa jua bangunan, pasti ada asas atau tapaknya yang menjadi pengukuh kedudukan bangunan itu di atas muka bumi.

Bangunan yang berdiri tanpa asas yang kemas dan kuat, maka ia akan mudah bergoyang dan akan cepat runtuh atau rosak apabila datang saja angin ribut, banjir kilat dan sebagainya.

Manusia yang hidup tidak berpaksikan kepada لا إله إلا الله, maka pegangan hidupnya juga longgar, akidah dan akhlak juga terumbang-ambing serta hidupnya hanya untuk dunia ini sahaja.

Lailahaillallah adalah DASAR kepada sistem hidup yang SYUMUL(lengkap) dan KAMIL (menyeluruh) iaitu Islam.
Masih belum terbina Islam yang sempurna dalam diri kita jika tidak kukuhkan asas ini.

Peganglah kalimah ini dalam segenap urusan hidup kita, pasti kita akan bertemu cinta kepada Allah.
Lagi bertambah cinta, lagi bertambahlah kemampuan untuk kita lebihDEKAT dengan Allah s.w.t.

Kata pepatah Arab yang bermaksud:
"Dengan cinta, yang JAUH menjadi DEKAT, yang SUSAH menjadi SENANG"

Ayuh, kita realisasikan deklarasi ini!



sumber:http://tinninun-alislam.blogspot.com

sufiyy imra'ah

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment