:)

:)

Belajar dari Surah Al-Fath

by 10:03 AM 0 comments
Bismillahirrahmanirrahim..

Firman Allah, maksudnya:


" Muhammad itu Pesuruh Allah. Dan orang yang bersamanya mempunyai sifat keras dan tegas terhadap orang kafir, dan berkasih sayang antara mereka. Kamu melihat mereka itu rukuk dan sujud, serta mereka mengharapkan kurniaan dari Allah dan keredhaanNya. Tanda mereka itu adalah pada muka mereka, kerana kesan dari sujud. Demikianlah bandingan sifat mereka dalam kitab Taurat. Dan contoh mereka di dalam kitab Injil, ialah seperti tanaman yang mengeluarkan anaknya (yang kecil dan lemah), lalu bertambah kuat dan besar, lalu tegak lurus dengan batangnya, sehingga ia menakjubkan orang yang menanamnya. (Begitu juga orang Islam, pada mulanya sedikit serta lemah, kemudian bertambah banyak dan kuat) supaya Allah menggerunkan orang kafir. Allah menjanjikan keampunan dan pahala yang besar kepada orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan mereka."



Al-Fath:29

Ayat ini adalah ayat terakhir dari surah al-Fath. Ketika Nabi saw membuka Mekah pada tahun ke 10 H, baginda memasukinya dengan tawadhuk. Duduk di belakang unta sambil menundukkan kepalanya hingga hampir mencecah belakang unta. Baginda mengulang-ulang surah al-Fath. Al-Fath bermaksud pembukaan iaitu pembukaan Mekah.
Walaupun Nabi saw meninggalkan Mekah kerana berhijrah menegakkan negara Islam, namun Nabi tidak pernah melupakan Mekah sebagai tempat tumpah darahnya dan tempat bermulanya dakwah dan keNabian baginda. Allah mengurniakan kepadanya semula Mekah selepas 10 tahun baginda mendirikan negara Islam Madinah.

Justru, umat ini tidak perlu putus asa untuk terus berjuang menegakkan agama Allah kerana Allah tetap akan memberikan mereka untuk berkuasa di atas mukabumi ini. Kalaupun mereka tidak sempat, mudah-mudahan anak-cucu mereka akan melihat kenyataan tersebut.

Di dalam ayat di atas, kita boleh memetik beberapa pengajaran:







1. Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Baginda hanya menyampaikan Islam. Baginda tidak boleh memaksa orang lain untuk mengikut dan menerimanya. Sifat Tabligh (menyampaikan), Sidq (Benar), Amanah dan Fatanah (cerdik) adalah sifat utama Nabi saw dalam memikul tugas besar ini. Umatnya juga harus bersifat demikian bagi menjamin kelangsungan dakwah yang ditinggalkan oleh baginda.

Tabligh-menyampaikan Islam kepada sesiapa sahaja, tidak menyimpan dan menyembunyikan agama suci ini dari manusia.
Sidq (benar)- dalam tindak-tanduk, iktiqad/ kepercayaan dan amalan.
Amanah-terhadap tugas memikul Islam kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
Fatanah (cerdik)- ketika menyampaikan hujah, dakwah dan membuat keputusan.




2. Nabi tidak keseorangan. Ada pengikut dan orang yang bersamanya. Islam ini perlu kepada orang yang menegakkannya. Allah boleh menjaga sendiri agamaNya tetapi Allah mahu melihat di kalangan manusia ini, mereka yang bersungguh menegakkan dan memelihara agamaNya. Mereka ini diberikan pahala besar dari Allah hasil kerja dan amalan mereka menjaga Islam.

Nabi Isa ada golongan Hawariyyun, Nabi Muhammad ada golongan Muhajirin dan Ansar. Maka kita mesti menjadi golongan Hizbullah yang bersama menegakkan Islam, membantu Nabi selepas wafatnya.




3. Nabi saw dan para Sahabat mempunyai beberapa ciri. Di antaranya, mereka bersifat
tegas terhadap orang kafir, terutamanya mereka yang menentang Nabi saw. Tegas dalam prinsip. Tidak berkompromi dalam perkara dasar, tetapi fleksibel dalam perkara furu’ dan cabang.

Orang bukan Islam mempunyai hak dan tanggungjawab dalam sebuah negara Islam. Darah, harta, maruah mereka dipelihara. Tidak boleh ditumpahkan dengan sewenang-wenangnya. Namun Islam juga mengajar kita supaya tidak mudah dipijak, diinjak, dipersenda dan dipermainkan oleh mereka yang benci dan menentang Islam.





4. Dalam masa yang sama, Nabi dan para sahabat mempunyai sifat berlemah-lembut dan berkasih sayang sesama mereka. Sifat inilah yang menyebabkan perpaduan di kalangan saf orang Islam teguh dan kukuh. Mereka mengenal siapa lawan dan siapa kawan. Mereka boleh menumpukan kepada lawan dari bergeseran sesama kawan. Musuh mencari jalan bagi memporak-perandakan kesatuan dan perpaduan mereka. Perkara titik-bengik diperbesarkan supaya saf kacau-bilau.

Mereka yang berada dalam gerakan Islam mesti memahami perkara-perkara ini melalui Fiqh Ukhuwwah supaya kemuncup-kemuncup yang melekat di kaki seluar tidak melambatkan dan merencatkan perjalanan dakwah suci yang masih panjang ini.





5. Di antara ciri lain ialah mereka kuat beribadat. Mereka rukuk dan sujud. Dengan ertikata lain, hubungan mereka kuat dengan Allah. Sememangnya, dalam membawa risalah besar ini perlu kepada ikatan dan hubungan kuat dengan Pencipta yang melahirkan kekuatan dalaman.

Justru, Nabi saw yang menghadapi tentangan hebat dari kaumnya diwajibkan oleh Allah untuk bertahajjud dan mendirikan malam kerana melaluinya tenaga dalaman diperolehi. Pendokong gerakan Islam juga seharusnya demikian kerana rintangan dan halangan tetap ada di mana-mana.




6. Allah membuat perumpamaan orang mukmin dan perkembangan dakwah Islam. Islam mulanya dibawa oleh seorang iaitu Nabi Muhammad saw. Ia kemudiannya diikuti oleh mereka yang hampir dengan baginda. Bulatan Islam makin melebar. Dari lemahnya seorang insan, mencari pembantu dan penyokong hinggalah membentuk kekuatan ramai yang digeruni lawan. Ibarat rumpunan buluh, bermula dari anak buluh kecil yang lemah, berkembang biak menjadi banyak. Rebungnya kemudian mengeras menjadi buluh kasar. Serumpun buluh keras dan tegap muncul dan tidak mudah dipatahkan dan dimusnahkan.

Dalam gerakan Islam, ia juga seharusnya demikian. Dari keseorangan, bergerak menambah penyokong, pendokong dan ahli yang menguatkan jemaah, yang akhirnya tegap dan tidak mudah diruntuh dan dimusnahkan oleh musuh.




7. Segala yang dilakukan di atas-menyampaikan Islam, membantu Nabi menegakkan agama suci ini, berpegang kepada prinsip perjuangan, tegas dan keras terhadap penentang, berlembut dan saling menyayanyi sesama mukmin, mempunyai hubungan kuat dengan Allah melalui ibadat dan mencari kekuatan dalam berjemaah adalah dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah Taala. Tidak yang lain. Dengan demikian, Allah memberikan keampunan dan pahala kepada mereka yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut. Keampunan dan pahala dari Allah inilah yang sentiasa didambakan oleh orang mukmin dan yang beramal soleh.



sumber:halaqah.net

sufiyy imra'ah

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment